Isnin, 18 Julai 2016

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan : 

Terima Kasih Kerajaan Persekutuan

Oleh : Nazman bin Che Iberahim, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan


1. Isu air di Kelantan ibarat penyakit barah ataupun kanser. Setidak tidaknya ini yang diharapkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Penyakit ini jika tidak membunuh dengan segera pun, lama kelamaan ia boleh mengundang kecelakaan dan kematian. Sebab itu isu air ini sering hangat diperkatakan dan musimnya juga agak kerap. Lebih lebih lagi menjelang pilihanraya umum. Dan yang lebih besar lagi adalah isu ini menjadi permasalahan yang terpaksa dihadapi rakyat saban saat, jam dan juga hari. Ia kemudahan asas yang tidak boleh tidak wajib ada.


2. Apa sahaja permasalahan yang timbul dan wujud di negeri ini akan terus menjadi fokus dan tumpuan satu Malaysia. Ia biasa bagi kami, atas apa jua isu. Sedangkan jika di tempat dan negeri lain, apa apa isu agak sukar untuk heboh. Lihat sahaja orang kampung di Pekan Pahang yang terpaksa menggunakan air parit dan juga air bukit beberapa bulan lepas akibat El Nino dan kemarau yang melampau, ia tidak menjadi tajuk utama pun dalam mana mana akhbar mahupun berita TV. Biasalah.


3. Namun, adakah isu air ini baru wujud kelmarin? Atau baru timbul tahun ini? Atau sejak Kelantan diperintah PAS pada tahun 1990? Ia adalah masalah lama yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu lagi. Ir Haji Wan Mohd Zamri Wan Ismail, Ketua Jabatan Pembangunan Teknikal AKSB, menyebut bahawa peruntukan pembangunan bekalan air untuk Kelantan bermula tahun 1990 iaitu seawal PAS diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan sehinggalah tahun 2001 telah disekat. Dan bermula pada tahun 2003 barulah Kelantan dapat membina loji baru di Chicha. Maksudnya 13 tahun kita disekat daripada membangunkan dan meningkatkan keupayaan loji air.


4. Kerajaan negeri memohon RM600 juta untuk 5 tahun bagi membangunkan dan menguruskan sistem bekalan air, tetapi diluluskan pinjaman itu untuk tempoh 15 tahun. Negeri lain semuanya diberikan geran secara percuma sehingga RM1000 juta ataupun 1 billion, namun Kelantan hanya diberi RM600 juta. Itupun pinjaman dan ia pula diberi untuk tempoh 15 tahun ataupun 3 kali rancangan. Sedangkan keperluan sebenar untuk tempoh 15 tahun ini adalah sehingga RM2 billion.

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan


5. Saya juga teringat pada beberapa tahun yang lalu apabila Professor Datuk Ir Dr Zaini Ujang, iaitu Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, yang mana sekarang beliau sedang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM600 juta yg AKSB terima adalah teramat sedikit untuk dibangunkan rancangan pemulihan bekalan air secara efektif. Dengan penduduk negeri ini yang melebihi 1.5 juta orang, jumlah pinjaman RM600 juta ini, yang diberi untuk pembangunan bekalan air adalah teramat kecil dan terhad. Malahan untuk menggantikan paip lama sahaja kosnya berjumlah RM1.1 billion. Bermaksud isu bekalan air ini adalah satu kerja yang melibatkan kos dan wang yang begitu banyak.


6. Seperti yang saya sebutkan di atas, UMNO-Barisan Nasional begitu berharap agar isu bekalan air ini akan berterusan dan ianya mampu menjadi modal politik yang paling utuh menjelang PRU14 nanti. Lihat sahaja RM600 juta pinjaman itu, ia dieksploitasi secara ekstrem dengan mengatakan jumlah ini lebih daripada cukup untuk membangunkan sistem bekalan air, kerajaan negeri tidak pandai menguruskan wang dengan jumlah ini, malahan mereka mendakwa wang ini adalah geran percuma ! Dan lebih teruk lagi mereka mempertikaikan ke mana perginya wang RM600 juta ini sedangkan masalah bekalan air masih di takuk lama. Adakah ada unsur rasuah kata mereka.


7. Perlu diingat, bahawa isu tuduhan berkaitan wang RM600 juta ini juga sudah selesai di mahkamah. Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Che Ali diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung kenyataan fitnah yang mengaitkan penyelewengan bantuan kewangan kerajaan Persekutuan oleh syarikat air itu, tiga tahun lepas. Fitnah ini disiarkan oleh akhbar The Star pada 26 April tahun 2012 bertajuk "Murky Waters Over A Million Kelantanese Drink Water that Looks Like This", yang mana artikel itu adalah jelas tidak benar dan tidak berasas.


8. Ramai yang tidak mengetahui bagaimana pinjaman RM600 juta itu dibelanjakan untuk meningkatkan keupayaan bekalan air di negeri ini. Adakah AKSB yang menguruskan 100% pinjaman ini atau ada pihak lain yang mengaturnya? Ramai yang berhujah di medan alam maya tanpa mengetahui fakta sebenar dengan beranggapan bahawa bantuan kewangan oleh kerajaan persekutuan kepada AKSB sebanyak RM600 juta adalah boleh digunakan serta merta, padahal ia adalah bantuan secara  berperingkat untuk jangka masa 20 tahun dan segala bayaran kepada kontraktor mesti mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dari kerajaan persekutuan bukannya boleh dibelanja  sewenang-wenangnya oleh kerajaan negeri ataupun AKSB.


9.Apakah keperluan AKSB yang sebenarnya untuk membangunkan sistem yang efektif ini? Seperti yang saya nyatakan pada awal tadi, bermula pada tahun 1990 sehinggalah tahun 2003, AKSB tidak menerima satu sen pun untuk pembangunan air di negeri ini yang membawa makna selama 13 tahun pengurusan sistem air berada di bawah paras yang memuaskan. Dan semasa pinjaman diberi pada tahun 2003 oleh Tun Mahathir, AKSB sebenarnya memerlukan RM2 billion untuk menguruskan balik 'lost development years'.


10. Dan terkini, Kelantan memerlukan lebih RM5 billion bagi rancangan pembangunan melibatkan kerja kerja untuk menguruskan semula "lost development years", memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3% setiap tahun dan membuat persiapan bagi jangkaan permintaan masa hadapan dengan unjuran 20 tahun akan datang. Ini tidak termasuk rancangan 'upstream' ataupun sumber air yang biasanya dibiayai oleh kerajaan persekutuan secara geran, pembinaan empangan bawah tanah dan struktur lain bagi memastikan sumber air mencukupi untuk 50 tahun yang akan datang.


11. Berkaitan dengan aduan beberapa pengguna yang mengatakan air paip terasa agak payau, penjelasan juga ada diberikan oleh pegawai pegawai AKSB. Sungai Kelantan, sejak berpuluh-puluh tahun aras minima tahunan yang dicerap di kawasan Pasir Mas, tidak pernah turun sehingga di bawah 1.0 meter walaupun sewaktu kemarau. Namun selepas tahun 2010 ia semakin jelas turun sehingga 0.20 meter. Dan kesannya adalah air laut mula merayau masuk ke kawasan sungai Kelantan. Kehadiran garam di dalam air Sungai Kelantan pada bulan Mac 2016 boleh dikesan sehingga ke Jambatan Tendong. Kesan penurunan air sungai ini serta risiko air masin memaksa KADA melalui MOA merancang dan membina satu empangan rendah atau 'low weir' di Kg Kubang Pak Amin, Kasa dengan kos melebihi RM40 juta.


12. Pemuda PAS Kelantan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bersetuju dan meluluskan rancangan migrasi kepada Kelantan setelah AKSB memohon sejak tahun 2008 lagi. Terkini enam negeri telah migrasi ke rejim SPAN iaitu Johor, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan di bawah rancangan nasional untuk melestarikan perkhidmatan air. Kelantan bakal memperoleh banyak manfaat di bawah rancangan ini dalam usaha untuk membangunkan projek projek bekalan air kepada rakyat.


13. Dan sudah pasti kelulusan kabinet ini amat tidak disukai oleh musuh musuh politik PAS Kelantan kerana migrasi akan menyebabkan masalah bekalan air di Kelantan selesai dan dapat diperbaiki dengan jayanya nanti, Insyaallah. Sehinggakan satu taklimat terpaksa dibuat pada 20hb Jun kelmarin di Kota Bharu oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kepada agensi agensi kerajaan persekutuan, pimpinan parti politik BN dan JKKK. Walaupun dibuat di Kota Bharu, sesi penerangan bertajuk Melestarikan Air Kelantan Demi Kesejahteraan Hidup Rakyat ini langsung tidak mempelawa dan menjemput wakil kerajaan negeri dan juga AKSB. Apalah nasib Kelantan yang selalu dianaktirikan. Untuk pemahaman kita, rancangan migrasi ini terpaksa diluluskan kerana ia adalah agenda nasional dan menyeluruh ke atas semua negeri yang telah bersedia untuk proses migrasi.


14. Terima kasih Putrajaya. Isu selut dan karat yang keluar daripada paip kami sejak sekian lama adalah disebabkan sikap 'double standard' kerajaan persekutuan sejak sekian lama dahulu. Puluhan tahun Kelantan diburuk burukkan dengan isu air, akan  tetapi rakyat dan pengundi kekal setia dengan terus memberikan mandat kepada PAS untuk mentadbir. Rakyat tahu selut ini bukan sekadar datang dari hulu Kelantan, rakyat sedar karat ini bukan semata mata terkakis dari saluran paip, tapi punca besarnya adalah akibat diskriminasi Putrajaya. Terima kasih Putrajaya.


15. Kali ini dengan rancangan migrasi ini, masalah air akan pulih dan selesai secara berperingkat-peringkat. Dan diharapkan rakyat Kelantan terus bersabar dan terus memberikan sokongan kepada pimpinan negeri kita. Insyaallah segala masalah akan diselesaikan satu persatu.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon