Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan

Isnin, 18 Julai 2016

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan : 

Terima Kasih Kerajaan Persekutuan

Oleh : Nazman bin Che Iberahim, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan


1. Isu air di Kelantan ibarat penyakit barah ataupun kanser. Setidak tidaknya ini yang diharapkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Penyakit ini jika tidak membunuh dengan segera pun, lama kelamaan ia boleh mengundang kecelakaan dan kematian. Sebab itu isu air ini sering hangat diperkatakan dan musimnya juga agak kerap. Lebih lebih lagi menjelang pilihanraya umum. Dan yang lebih besar lagi adalah isu ini menjadi permasalahan yang terpaksa dihadapi rakyat saban saat, jam dan juga hari. Ia kemudahan asas yang tidak boleh tidak wajib ada.


2. Apa sahaja permasalahan yang timbul dan wujud di negeri ini akan terus menjadi fokus dan tumpuan satu Malaysia. Ia biasa bagi kami, atas apa jua isu. Sedangkan jika di tempat dan negeri lain, apa apa isu agak sukar untuk heboh. Lihat sahaja orang kampung di Pekan Pahang yang terpaksa menggunakan air parit dan juga air bukit beberapa bulan lepas akibat El Nino dan kemarau yang melampau, ia tidak menjadi tajuk utama pun dalam mana mana akhbar mahupun berita TV. Biasalah.


3. Namun, adakah isu air ini baru wujud kelmarin? Atau baru timbul tahun ini? Atau sejak Kelantan diperintah PAS pada tahun 1990? Ia adalah masalah lama yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu lagi. Ir Haji Wan Mohd Zamri Wan Ismail, Ketua Jabatan Pembangunan Teknikal AKSB, menyebut bahawa peruntukan pembangunan bekalan air untuk Kelantan bermula tahun 1990 iaitu seawal PAS diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan sehinggalah tahun 2001 telah disekat. Dan bermula pada tahun 2003 barulah Kelantan dapat membina loji baru di Chicha. Maksudnya 13 tahun kita disekat daripada membangunkan dan meningkatkan keupayaan loji air.


4. Kerajaan negeri memohon RM600 juta untuk 5 tahun bagi membangunkan dan menguruskan sistem bekalan air, tetapi diluluskan pinjaman itu untuk tempoh 15 tahun. Negeri lain semuanya diberikan geran secara percuma sehingga RM1000 juta ataupun 1 billion, namun Kelantan hanya diberi RM600 juta. Itupun pinjaman dan ia pula diberi untuk tempoh 15 tahun ataupun 3 kali rancangan. Sedangkan keperluan sebenar untuk tempoh 15 tahun ini adalah sehingga RM2 billion.

Air Berkeladak Selut dan Payau di Kelantan


5. Saya juga teringat pada beberapa tahun yang lalu apabila Professor Datuk Ir Dr Zaini Ujang, iaitu Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, yang mana sekarang beliau sedang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM600 juta yg AKSB terima adalah teramat sedikit untuk dibangunkan rancangan pemulihan bekalan air secara efektif. Dengan penduduk negeri ini yang melebihi 1.5 juta orang, jumlah pinjaman RM600 juta ini, yang diberi untuk pembangunan bekalan air adalah teramat kecil dan terhad. Malahan untuk menggantikan paip lama sahaja kosnya berjumlah RM1.1 billion. Bermaksud isu bekalan air ini adalah satu kerja yang melibatkan kos dan wang yang begitu banyak.


6. Seperti yang saya sebutkan di atas, UMNO-Barisan Nasional begitu berharap agar isu bekalan air ini akan berterusan dan ianya mampu menjadi modal politik yang paling utuh menjelang PRU14 nanti. Lihat sahaja RM600 juta pinjaman itu, ia dieksploitasi secara ekstrem dengan mengatakan jumlah ini lebih daripada cukup untuk membangunkan sistem bekalan air, kerajaan negeri tidak pandai menguruskan wang dengan jumlah ini, malahan mereka mendakwa wang ini adalah geran percuma ! Dan lebih teruk lagi mereka mempertikaikan ke mana perginya wang RM600 juta ini sedangkan masalah bekalan air masih di takuk lama. Adakah ada unsur rasuah kata mereka.


7. Perlu diingat, bahawa isu tuduhan berkaitan wang RM600 juta ini juga sudah selesai di mahkamah. Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Che Ali diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung kenyataan fitnah yang mengaitkan penyelewengan bantuan kewangan kerajaan Persekutuan oleh syarikat air itu, tiga tahun lepas. Fitnah ini disiarkan oleh akhbar The Star pada 26 April tahun 2012 bertajuk "Murky Waters Over A Million Kelantanese Drink Water that Looks Like This", yang mana artikel itu adalah jelas tidak benar dan tidak berasas.


8. Ramai yang tidak mengetahui bagaimana pinjaman RM600 juta itu dibelanjakan untuk meningkatkan keupayaan bekalan air di negeri ini. Adakah AKSB yang menguruskan 100% pinjaman ini atau ada pihak lain yang mengaturnya? Ramai yang berhujah di medan alam maya tanpa mengetahui fakta sebenar dengan beranggapan bahawa bantuan kewangan oleh kerajaan persekutuan kepada AKSB sebanyak RM600 juta adalah boleh digunakan serta merta, padahal ia adalah bantuan secara  berperingkat untuk jangka masa 20 tahun dan segala bayaran kepada kontraktor mesti mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dari kerajaan persekutuan bukannya boleh dibelanja  sewenang-wenangnya oleh kerajaan negeri ataupun AKSB.


9.Apakah keperluan AKSB yang sebenarnya untuk membangunkan sistem yang efektif ini? Seperti yang saya nyatakan pada awal tadi, bermula pada tahun 1990 sehinggalah tahun 2003, AKSB tidak menerima satu sen pun untuk pembangunan air di negeri ini yang membawa makna selama 13 tahun pengurusan sistem air berada di bawah paras yang memuaskan. Dan semasa pinjaman diberi pada tahun 2003 oleh Tun Mahathir, AKSB sebenarnya memerlukan RM2 billion untuk menguruskan balik 'lost development years'.


10. Dan terkini, Kelantan memerlukan lebih RM5 billion bagi rancangan pembangunan melibatkan kerja kerja untuk menguruskan semula "lost development years", memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3% setiap tahun dan membuat persiapan bagi jangkaan permintaan masa hadapan dengan unjuran 20 tahun akan datang. Ini tidak termasuk rancangan 'upstream' ataupun sumber air yang biasanya dibiayai oleh kerajaan persekutuan secara geran, pembinaan empangan bawah tanah dan struktur lain bagi memastikan sumber air mencukupi untuk 50 tahun yang akan datang.


11. Berkaitan dengan aduan beberapa pengguna yang mengatakan air paip terasa agak payau, penjelasan juga ada diberikan oleh pegawai pegawai AKSB. Sungai Kelantan, sejak berpuluh-puluh tahun aras minima tahunan yang dicerap di kawasan Pasir Mas, tidak pernah turun sehingga di bawah 1.0 meter walaupun sewaktu kemarau. Namun selepas tahun 2010 ia semakin jelas turun sehingga 0.20 meter. Dan kesannya adalah air laut mula merayau masuk ke kawasan sungai Kelantan. Kehadiran garam di dalam air Sungai Kelantan pada bulan Mac 2016 boleh dikesan sehingga ke Jambatan Tendong. Kesan penurunan air sungai ini serta risiko air masin memaksa KADA melalui MOA merancang dan membina satu empangan rendah atau 'low weir' di Kg Kubang Pak Amin, Kasa dengan kos melebihi RM40 juta.


12. Pemuda PAS Kelantan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bersetuju dan meluluskan rancangan migrasi kepada Kelantan setelah AKSB memohon sejak tahun 2008 lagi. Terkini enam negeri telah migrasi ke rejim SPAN iaitu Johor, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan di bawah rancangan nasional untuk melestarikan perkhidmatan air. Kelantan bakal memperoleh banyak manfaat di bawah rancangan ini dalam usaha untuk membangunkan projek projek bekalan air kepada rakyat.


13. Dan sudah pasti kelulusan kabinet ini amat tidak disukai oleh musuh musuh politik PAS Kelantan kerana migrasi akan menyebabkan masalah bekalan air di Kelantan selesai dan dapat diperbaiki dengan jayanya nanti, Insyaallah. Sehinggakan satu taklimat terpaksa dibuat pada 20hb Jun kelmarin di Kota Bharu oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kepada agensi agensi kerajaan persekutuan, pimpinan parti politik BN dan JKKK. Walaupun dibuat di Kota Bharu, sesi penerangan bertajuk Melestarikan Air Kelantan Demi Kesejahteraan Hidup Rakyat ini langsung tidak mempelawa dan menjemput wakil kerajaan negeri dan juga AKSB. Apalah nasib Kelantan yang selalu dianaktirikan. Untuk pemahaman kita, rancangan migrasi ini terpaksa diluluskan kerana ia adalah agenda nasional dan menyeluruh ke atas semua negeri yang telah bersedia untuk proses migrasi.


14. Terima kasih Putrajaya. Isu selut dan karat yang keluar daripada paip kami sejak sekian lama adalah disebabkan sikap 'double standard' kerajaan persekutuan sejak sekian lama dahulu. Puluhan tahun Kelantan diburuk burukkan dengan isu air, akan  tetapi rakyat dan pengundi kekal setia dengan terus memberikan mandat kepada PAS untuk mentadbir. Rakyat tahu selut ini bukan sekadar datang dari hulu Kelantan, rakyat sedar karat ini bukan semata mata terkakis dari saluran paip, tapi punca besarnya adalah akibat diskriminasi Putrajaya. Terima kasih Putrajaya.


15. Kali ini dengan rancangan migrasi ini, masalah air akan pulih dan selesai secara berperingkat-peringkat. Dan diharapkan rakyat Kelantan terus bersabar dan terus memberikan sokongan kepada pimpinan negeri kita. Insyaallah segala masalah akan diselesaikan satu persatu.

Isnin, 18 Mei 2015

Final Piala FA : Kelantan cuti peristiwa...

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2015

Piala FA


Pihak Kerajaan Negeri Kelantan sangat mengutamakan aspek keselamatan para penyokong pasukan bola sepak Kelantan yang akan hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA musim 2015 edisi ke-26 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei 2015 nanti. Saya berharap para penyokong dari Kelantan dapat menjaga solat ketika disana, tatasusila sebagai anak Kelantan dan adab ketika menyaksikan perlawanan tersebut.

Pihak Kerajaan Negeri dengan ini mengisytiharkan tarikh 24 Mei 2015 iaitu hari ahad sebagai hari cuti peristiwa di Negeri Kelantan bagi memberi keselesaan kepada anak-anak Kelantan untuk pulang dengan selesa dan tidak tergesa-gesa. Jaga keselamatan dijalan raya dan jangan berlumba-lumba untuk cepat sampai memandangkan ruang masa masih panjang untuk perjalanan pulang.

Harapan saya agar penyokong Kelantan dapat membawa ruh riadhah dan bersukan secara sihat tanpa terlibat dengan sebarang pelanggaran etika dan insiden yang tidak bermoral. Saya sendiri menaruh harapan agar pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors dapat mempersembahkan aksi yang mantap pada perlawanan akhir nanti dan seterusnya menjuarai Piala FA 2015, insya-Allah.

Pasukan Bola Sepak Kelate Boleh!

YAB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 29 REJAB 1436 / 18 MEI 2015

Khamis, 19 Mac 2015

PRK N06 CHEMPAKA : Kerajaan Negeri Umum Cuti

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA CUTI HARI MENGUNDI BAGI PRK N06 CHEMPAKA.


بسم الله الرحمن الرحيم
Rakyat Kelantan yang menetap di Dun Chempaka, Pengkalan Chepa akan membuat pemilihan calon pada pilihan raya kecil N 06 Chempaka yang akan berlangsung pada hari Ahad 1 Jamadil Akhir 1436 bersamaan 22 Mac 2015. Harapan saya agar proses pengundian pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan aman tanpa ada sebarang unsur memanipulasi undi.
Pihak kerajaan amat simpati dengan kesukaran yang bakal dihadapi oleh rakyat pada hari pembuangan undi kerana hari tersebut adalah hari bekerja di Kelantan. Maka dengan ini saya mengistiharkan bahawa tarikh 22 Mac 2015 sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh Negeri Kelantan Darulnaim. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan pembuangan undi pada hari tersebut.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 26 Jamadil Awwal 1436 / 18 Mac 2015

Selasa, 3 Mac 2015

Koleksi Dikir Barat Sayang Tok Guru

Dikir Barat khas untuk Tok Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat..
22 Tahun Memerintah Kelantan..
22 Tahun menanam ISLAM di Kelantan..


tuan guru nik abdul aziz




tok guru

Ahad, 1 Mac 2015

Beza hukum Hudud dan Hukum Undang-undang Dunia

Isu HUDUD : Peguam ini memang SEMPOI la...

Ulasan secara ringkas antara Hukum HUDUD dan Hukum Dunia...





Rabu, 18 Februari 2015

TGNA : Parodi Murobbi Terulung


Murobbi Terulung
Sebuah lagu yang cukup menyentuh sesiapa sahaja yang menghayati lirik-lirik lagu ini. Tidak pernah sekali air mata AM berhenti setiap kali menhayati lagu ini. Cukup terasa kehilangan sebuah PERMATA yang mungkin tiada gantinya. Hanya ALLAH sahaja  yang tahu bertapa AM menrindui insan yang bernama TOK GURU.








Artis : Fikri feat Amir Hilwan
Lagu Asal : Kau Sahabat Kau Teman (Hijjaz)
Tribute to Tuan Guru Nik ABdul Aziz Nik Mat

Ahad, 15 Februari 2015

Biodata YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik ABdul Aziz Nik Mat : 1931 - 2015

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat 
Nik Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Gambar usia muda nik abdul aziz

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.
mahathir bersama nik abdul aziz

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
nik abdul aziz memberi kuliah jumaat

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.
Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Tuan Sabariah

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.
Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.
Tuan Guru ABdul Aziz

Pergi Takkan Kembali


Perginya seorang murabbi...
Juga seorang pejuang sejati...
Engkaulah guru dan pembimbing kami...
Namamu terpahat disanubari...

Rehatlah dikau pewaris nabi...
Di malam jumaat yang diberkati...
Perjuangan engkau tidakkan terhenti...
Akan diteruskan generasi kami...

Innalillahi wainna ilaihi roji'un...
Semoga ditempatkan di syurga...

Al-fatihah