Piala Malaysia yang hampir ke kemuncak kini semakin sengit apabila presiden KAFA Tan sri Annuar Musa menjanjikan lot tanah untuk para pemain TRW jika berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Kelantan pada Sabtu ini..
GANJARAN lot tanah menanti barisan pemain The Red Warriors sekiranya berjaya melengkapkan kejuaraan treble pertama dengan menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Pengumuman terbaharu itu dibuat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) jika anak buah Bojan Hodak mampu merealisasikan impian tersebut dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-86 nanti.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pemain yang menyumbang kepada kejayaan Kelantan bakal mendapat lot tanah bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000 dengan membabitkan kos keseluruhan mencecah hampir RM2 juta.
“Saya harap pemain tidak melepaskan peluang mencipta sejarah meraih gelaran trebel pertama. Peluang ini mungkin tak datang dalam tempoh 100 tahun. Kali ini kita sedang hampiri untuk menguasai kesemua kejuaraan yang dipertandingkan di negara ini.
“Selalunya kita beri duit, hari pun pemain dapat bonus. Namun setelah berbincang, kita memutuskan mahu memberikan lot tanah sebagai penghargaan di atas pengorbanan pemain terhadap kejayaan Kelantan.
“Ini merupakan satu manifestasi Kafa, hasil yang kita capai di atas kesungguhan dan usaha yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu. Ia (pemberian tanah) akan menjadi satu perkara yang akan dikenang sampai bila-bila oleh semua pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyampaikan bonus RM125,000 kepada pemain Kelantan atas kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia di Kota Bharu, hari ini.
Menurut Annuar, keputusan untuk menghadiahkan lot tanah kepada pemain dipersetujui dalam satu mesyuarat tertutup Kafa yang dipengerusikan Naib Presidennya, Rosmadi Ismail semalam.
Annuar bagaimana pun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai lokasi tanah itu dan menjelaskan perkara tersebut akan diumumkan sebaik sahaja perlawanan akhir Piala Malaysia tersebut berakhir. “Kita fikir pemberian tanah ini demi masa depan pemain. Kalau beri duit, duit habis, lebih elok pemain mendapat tanah sebagai satu aset kepada mereka.
“Ada pemain yang belum ada rumah, malah masih ada keluarga pemain yang menyewa , jadi saya berpendapat pemberian ini sesuatu yang berfaedah kepada mereka,” katanya.
EmoticonEmoticon