Selasa, 28 Ogos 2012

Isu Rohingya: Myanmar penjara 3 pekerja misi bantuan

Tags



HONG KONG - Sebuah mahkamah Myanmar menjatuhkan hukuman penjara sehingga enam tahun ke atas tiga pekerja misi bantuan kemanusiaan termasuk dua kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Jurucakap PBB di Myanmar, Aye Win berkata, mahkamah di bandar Maungdaw, di negeri Rakhine, menjatuhkan hukuman itu Jumaat lalu.

Ketiga-tiga mereka terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan yang menganggotai agensi pelarian, seorang dari agensi pelarian PBB sendiri manakala yang ketiga merupakan kakitangan Program Makanan Sedunia PBB.

Aye berkata, dia tidak diberikan maklumat berkenaan tempoh hukuman penjara yang dikenakan dan butiran tuduhan sebab PBB tiada akses ke mahkamah.

Bagaimanapun laporan memetik AFP berkata, kakitangan Program Makanan Sedunia dikenakan hukuman penjara dua tahun manakala dua yang lain antara tiga hingga enam tahun.

PBB juga tidak dapat bertemu dengan ketiga-tiga mereka sejak diletakkan di bawah kawalan.

Bulan lalu, PBB memaklumkan bahawa 10 pekerja misi bantuan ditahan untuk "disoal siasat" oleh pihak berkuasa di Rakhine, wilayah yang menyaksikan konflik antara komuniti Buddha dan Muslim.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada kakitangan PBB dan juga anggota kumpulan Doctors Without Borders.

Beberapa orang yang ditahan itu telah dibebaskan, demikian menurut PBB minggu lalu.

Pegawai komuniksi agensi pelarian di Myanmar, Babar Baloch pula berkata, "kami sangat kecewa dengan kes ini khususnya selepas perkembangan positif sebelum ini."

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon