Rabu, 22 Jun 2011

Insentif poligami bersyarat

Tags

Kerajaan PAS pertimbang jika lelaki mampu urus baik keluarga

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan menimbang cadangan untuk memberi insentif kepada pengamal poligami di negeri ini yang mampu menguruskan isteri dan keluarga dengan baik mengikut syariat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata antara syarat dipertimbangkan ialah ketua keluarga itu hendaklah mengisytiharkan isteri masing-masing dan membawa mereka ke dalam masyarakat.

“Mengenai cadangan supaya insentif diberi kepada keluarga yang mengamalkan poligami dan menunjukkan contoh baik, kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu, cuma biasanya pengamal poligami ini sukar untuk dikenal pasti kerana ramai tidak mengisytiharkan isteri kedua dan seterusnya,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, semalam.

Pada sesi DUN Kelantan kelmarin, Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Pasir Tumboh) mencadangkan supaya satu insentif diberikan kepada pengamal poligami contoh yang mampu mengurus isteri dan keluarga dengan baik.

Wan Ubaidah ketika diminta mengulas lanjut mengenai insentif berkenaan di luar dewan berkata, setakat ini pihaknya masih belum mempunyai kriteria khusus bagi membolehkan pengamal poligami mendapat insentif seumpama itu.

Ditanya sama ada insentif dimaksudkan berbentuk wang tunai atau sebaliknya, beliau berkata perkara itu masih baru dan akan dibincangkan kemudian.

Mengulas sama ada ADUN yang mengamalkan poligami juga layak menerima insentif berkenaan, beliau berkata ia boleh dipertimbangkan sekiranya pihak berkaitan tidak mempunyai halangan.
“Insentif ini tak semestinya lelaki yang berkahwin dengan armalah (ibu tunggal) tetapi boleh juga anak dara, yang penting ketua keluarga ini berjaya mengurus isteri dan keluarga, kriteria pula kita kena bincang, kena ada syarat, tidak berbalah.

“Mereka kenalah isytihar isteri masing-masing seperti Salleh Yaakob (artis yang berkahwin empat), tak bolehlah sembunyi (jika berkahwin lebih daripada satu), kalau (berkahwin) tiga, maka kena jelaskan ada tiga (isteri) itu.

“Isytihar ini bermaksud poligami ini dimaklumkan kepada keluarga, masyarakat tahu dia berpoligami dan membawa isterinya ke dalam masyarakat... yang (menjadi masalah) beratnya ialah ada kahwin satu, kemudian cerai satu, seorang wanita bahagia manakala seorang lain menderita, jika poligami ini kita tak boleh terimalah,” katanya.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon