Rabu, 22 Jun 2011

Saya Sokong Siapa? Itu Rahsia – Sasterawan Negara

Tags




KUALA LUMPUR – Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said menegaskan yang sokongannya terhadap perhimpunan Bersih 2.0 adalah disebabkan beliau mahu melihat sistem pilihan raya di negara ini diadakan dengan lebih telus dan adil.

Sehubungan itu, beliau tidak kisah sekiranya mana-mana pihak menganggap penglibatannya itu sebagai satu ‘tanda’ yang beliau kini lebih cenderung ke arah parti pembangkang.

” Sokongan saya pada Bersih lebih kepada mahukan satu pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, tidak lebih dari itu.

” Kalau orang nak anggap saya ini sokong pembangkang, maka terserahlah kepada mereka.

” Tetapi kalau kamu tanya saya sokong siapa…jawapannya rahsia,” katanya sambil tersenyum.

Kehadiran A. Samad dalam pelancaran Bersih 2.0 malam tadi mencuri tumpuan ramai kerana beliau turut sama berkongsi pentas dengan barisan penganjur perarakan tersebut.

Bahkan beliau turut membacakan puisi yang diilhamkannya berdasarkan peristiwa Boston Tea Party

Untuk rekod, Boston Tea Party merupakan peristiwa penting dalam sejarah Amerika.

Pada tahun 1770-an, pemberontak Amerika memusnahkan bekalan teh sebagai tanda bantahan terhadap cukai yang dikenakan penjajah Britain ke atas mereka. Peristiwa itu dikenali sebagai Boston Tea Party dan ia menyemai benih kemerdekaan Amerika.

Kini nama Tea Party Movement digunakan untuk melambangkan bahawa ia adalah protes besar-besaran rakyat, bukan untuk kepentingan politik mana-mana pihak atau individu – SYAHRIL A. KADIR (mynewshub.my)

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon