Thursday, 8 November 2012

Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) : Bagi Masa Kepada Kerajaan

Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang bermasalah dan kerajaan meminta diberi masa untuk menyelesaikan permasalahan ini. Persoalanya tarikh tutup bagi pengisian ini adalah 20.11.2012...Kena cepat dan pantas la buat kerja bukan masa untuk mengkaji lagi...

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran meminta semua pihak khususnya guru supaya memberi sedikit masa untuk kementerian memantapkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata ia berikutan rungutan dan rintihan guru yang diterima kementerian mengenai masalah yang dihadapi berhubung pelaksanaan sistem itu.
"Kita bersimpati dengan guru, bila guru keluarkan rintihan ada asasnya. Kita memang hendak mantapkan PBS sebab itu ada arahan yang dikeluarkan supaya sistem PBS ini diberi perhatian khusus," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata pada masa ini, kumpulan profesional dan pakar-pakar yang dilantik kementerian sedang meneliti pelbagai cadangan untuk menambah baik sistem itu selain membincangkan mengenai masalah yang dihadapi guru.
Kementerian juga mengalu-alukan semua cadangan, dan ia akan dikaji serta dibuat simulasi.
Mengenai masalah pertukaran guru, Wee berkata kementerian tidak boleh menukar guru sewenang-wenangnya selain tidak boleh memenuhi semua tuntutan dan permintaan yang dibuat.
"Kita cuba sedaya upaya, faktor suami isteri yang dipisahkan agak lama bukan mudah (untuk dipenuhi), kita bagi keutamaan kepada faktor kesihatan ibu, bapa dan anak, ada ancaman keselamatan, kita kena lihat opsyen dan tempat yang ada.
Kita tidak boleh layan dan penuhi (semua) tuntutan," jelasnya.
Beliau berkata sehingga kini, 3,241 daripada 22,647 permohonan pertukaran guru diluluskan.
"Ia satu perkara yang bukan mudah diluluskan. Johor misalnya kekurangan guru Bahasa Inggeris jadi sesiapa yang hendak keluar dari Johor memang tidak boleh kerana akhirnya akan ada masalah kekurangan guru, ini yang jadi masalah.
"Begitu juga dengan negeri-negeri lain," kata Wee.
Persidangan Dewan disambung esok. - Bernama

No comments:

Post a Comment