Ahad, 19 Ogos 2012

Perutusan Aidilfitri 1433H YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Tags




Perutusan Aidilfitri 1433H

YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)

Assalamualaikuam Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Allahuakbar  Allahuakbar  Allahuakbar

                Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan keizinan kepada kita untuk terus merasai nikmat iman dan Islam sehingga saat ini. Ramadhan tahun ini telah berlalu meninggalkan kita dengan seribu satu peluang yang tidak dapat diulang kembali. Alhamdulillah, pada tahun ini kita diberikan kesempatan untuk menikmati Ramadhan dan semoga Allah SWT memberikan kepada kita peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan Insya-Allah.

                Hari ini kita menyambut Hari Raya yang disyariatkan oleh Islam untuk kita meraikannya. Ia dinamakan sebagai idulfitri ayau Hari Raya Fitrah kerana manusia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu suci, bersih dan tulus. Kesucian ini lahir setelah kita dibersihkan dengan puasa dan pelbagai ibadat di bulan Ramadhan selama sebulan dengan pelbagai latihan menundukkan hawa nafsu. Fitrah inilah yang perlu dijaga sebaik mungkin agar tidak ternoda lagi dengan karat-karat dosa dan jahiliyyah. Allah SWT berfirman :

فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

yang bermaksud : "..iaitu fitrah (ugama) yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu.." (Surah Ar-Ruum, ayat 30)

                Namun, fitrah inilah yang kadang-kadang dicemari oleh kehendak hawa nafsu manusia yang seringkali melanggar batasan. Manusia yang ditakluk oleh nafsu seringkali mencari kebebasan sehingga melanggar hak-hak Allah SWT dan hak-hak manusia yang lain. Justeru timbullah gejala rasuah, pecah amanah, khianat, perzinaan dan pelbagai skandal lagi yang hakikatnya bertentangan dengan fitrah manusia. Sekalipun hawa nafsu mengiakan perkara ini, tetapi gejala ini jika semua pihak melakukannya akan mendatangkan kerosakan kepada kehidupan manusia. Inilah dia fitrah, fitrah mengatur hidup manusia dan mengatur hidup semua pihak agar hidup dengan aman sentosa. Peraturan ini hanya ditentukan oleh Tuhan yang mencipta langit dan bumi iaitu Allah SWT.

                Inilah perjuangan yang kita tunjangi melalui Parti Islam Semalaysia (PAS). Kita berusaha membawa masyarakat agar kembali kepada fitrah. Kita perkenalkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna agar masyarakat menyedari bahawa tiada jalan keluar yang boleh menyelesaikan segala kemelut melainkan hanyalah kembali kepada Islam. Sungguhpun nampak usaha kita ditentang, tetapi sedikit demi sedikit pihak-pihak yang selama ini menunjukkan sikap pertentangan kepada Islam sudah semakin dapat berlembut dan duduk berbincang. Tinggal lagi beberapa kerat yang masih bergayut di dahan-dahan jahiliyyah yang semakin reput dan menunggu masa untuk jatuh terhempas ke bumi.

                Saya yakin Insya-Allah perubahan pasti akan berlaku dengan syarat kita lipat gandakan usaha di samping berdoa dan bergantung harap kepada Allah SWT. Hari ini, kita menyambut kedatangan hari raya dengan melihat pelbagai perubahan pucuk pimpinan berlaku di Timur Tengah. Jika Allah SWT boleh memberikan kemenangan kepada gerakan Islam di Mesir contohnya, maka tidak pelik sedikitpun jika PAS berjaya mencapai kemenangan. Adapun halangan-halangan yang dilihat semakin banyak merintangi di haadapan ini hanyalah tanda-tanda bahawa saat-saat kejayaan semakin hampir, Insya-ALlah.

                Akhir kata, harapan saya agar sama-sama kita meraikan kedatangan Syawwal pada kali ini dengan penuh ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Selamat Hari Raya Idulfitri
Minal 'Aidin Wal Faizin


Dengan hormat,
YAB TUAN GURU DATO NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 1 Syawwal 1433H bersamaan 19 Ogos 2012M

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon